LATAR BELAKANG EZSNAP

Pada tahun 2009, penampilan audit dilaksanakan melalui lawatan khusus atau semasa juruaudit melakukan pengauditan pengurusan kewangan di PTJ. Pada masa itu juruaudit akan menyemak rekod utama 5 elemen kawalan kewangan dan 4 elemen kawalan ICT dengan menggunakan borang penampilan audit bagi memastikan PTJ sentiasa mematuhi peraturan yang berkuat kuasa. Seterusnya, juruaudit akan mengeluarkan surat pemerhatian audit ringkas sekiranya terdapat ketidakpatuhan namun tiada analisis dibuat terhadap penemuan penampilan audit. Selain itu, lokasi PTJ yang jauh, sumber manusia, masa dan bajet yang terhad menyebabkan penampilan audit yang dijalankan tidak meliputi keseluruhan PTJ di bawah JPM.

Bermula tahun 2010, penampilan audit dijalankan secara self assessment di mana Bahagian Audit Dalam, JPM akan menghantar borang penampilan audit yang sama kepada PTJ secara pos. Borang yang telah lengkap diisi dan disemak oleh ketua jabatan akan dikembalikan kepada Bahagian Audit Dalam, JPM juga melalui pos. Hasil penilaian self assessment dari PTJ akan dikunci masuk oleh empat (4) pegawai dari Unit Teknikal Bahagian Audit Dalam untuk memasukkan semua penilaian yang diterima ke dalam Sistem Aplikasi Electronic Tracking Audit Report (eTAR) sedia ada yang telah ditambah baik untuk kesesuaian analisis data self assessment. Bagaimanapun, keputusan analisis hanya dapat diakses dan digunakan oleh juruaudit sahaja.

Sistem Nilaian Audit Penampilan atau ezSNAP adalah satu sistem yang dibangunkan untuk membantu Bahagian Audit Dalam, JPM untuk memantau prestasi pengurusan kewangan dan ICT di setiap PTJ di JPM secara online. Melalui sistem ini, prestasi pematuhan setiap elemen kawalan pengurusan kewangan dan ICT bagi setiap PTJ di bawah JPM dapat dinilai.

PELAKSANAAN

Pelaksanaan sistem aplikasi ezSNAP melibatkan sebanyak 260 PTJ yang terdiri daripada ibu pejabat dan cawangan di bawah JPM. Sistem ini mula digunakan oleh 13 agensi perintis di bawah JPM pada 1 Julai 2011 dan kemudian diperluaskan kepada 247 PTJ di bawah JPM pada 1 Ogos 2011.